Bagaimanakah aku bertebar?
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Hubaya semua dalam keadaan baik dan sihat wal afiat.
Saya terdetik untuk menulis pada jam 2:00 pagi kerana ada sesuatu yang sedang menerawang dalam minda. Sepetang tadi saya menerima bungkusan berisi peta dunia. Peta yang boleh lorek. Tambah pula, kiriman status usrahti yang juga berkenaan peta.
"Tempat kena tanam, tempat habiskan kehidupan, tempat jodoh sembunyi."
Kisah peta kami akhirnya membawa saya untuk menulis entri ini :)
Baru-baru ini para asatizah MeJor (Mesir & Jordan), pulang ke menara gading masing-masing. Oleh itu, titipan "Selamat bertebaran" seringkali dizahirkan. Bertebaran dengan bekal daripada wasilah, bertebaran dengan kefahaman agama, bertebaran membawa tanggungjawab, bertebaran untuk menyemai benih iman.
ما شاء الله
moga الله mudahkan urusan penebaran benih keimanan dan kelangsungan dakwah di muka bumi ini.
Jadi...
Bagaimanakah aku bertebar?
cara paling mujarab adalah dengan keIMANan
Bertebarlah dengan keimanan, kerana الله berfirman tentang hakikat keimanan dalam surah Ibrahim 14:24-25 bak pokok yang teguh lagi berjasa. Kerana pegangan orang-orang beriman ialah jati diri mereka.
24 أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَآءِ ✿
25 تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ ✿
"Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah telah membuat perumpamaan tentang kalimah yang baik seperti pohon yang baik. Akarnya teguh & cabangnya menjulang ke langit.
Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah memberi perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu beringat."
Perjalanan pulang KL-JB, 12/07/2024
Pengajaran yang boleh mengesani hati daripada dua ayat di atas ialah kita perlu sedar akan kualiti yang perlu dimiliki selaku umat Nabi Muhammad SAW. Ia menuntut agar kita faham bahawa:
✿ Islam tertegak hasil daripada pengorbanan Nabi & para penyambung perjuangannya.
Susah payah sanggup ditanggung sebab faham kenapa pentingnya keimanan dalam diri manusia.
✿ Iman ialah jati diri dan asas dalam diri. Meskipun akar tidak terlihat, masih menampung pokok yang sihat bahkan mampu beri manfaat.
✿ Kewajiban meneruskan seruan Islam dengan kata-kata juga perilaku. Ilmu yang benar akan tetap tersebar, berkembang dan berbuah dengan izin الله. Kendatipun perlahan pasti akan memberi hasil. Pokoknya, yuk sabar deh!
Sampai ke tahap itu metafora dalam Quran mencerdaskan akal lagi mengesani jiwa penganutnya. Demikianlah الله menggesa kita untuk berfikir agar kefahaman tidak hanya tersimpan dalam jasad tetapi berbuah melalui amal.
Moga الله menerima amal kita dan membersihkan jiwa dengan ujian dan nikmatNya.
والله أعلمُ
Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih atas sebarang pandangan dan kritikan ♥︎